Enjin Kereta Kebal Pulak Hilang?!


Tentera bagi sesebuah negara ibarat pakaian bagi seorang manusia. Fungsi pakaian ialah menjaga tubuh seseorang daripada cuaca panas dan sejuk, selain menutup aurat dan menjaga maruah dan kehormatan dirinya. Begitulah gambaran pentingnya fungsi tentera kepada sesebuah negara. Benteng keselamatan terakhir bagi negara.

Namun baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Kehilangan daripada sebuah institusi yang menjaga dan mempertahankan keselamatan negara ini mengundang pelbagai persepsi negatif dan buruk masyarakat terhadap mereka yang menjaga institusi ini dan pemimpin yang mengurus tadbir negara, khususnya Kementerian Pertahanan yang angkatan tentera berada di bawah pentadbirannya.

Walaupun siasatan telah dibuat.Rakyat sangat-sangat mengharapkan PDRM dengan kemampuan yang mereka miliki dapat melakukan siasatan dengan telus dan menyeluruh serta mereka yang disabitkan kesalahan dalam melakukan jenayah ini dikenakan hukuman yang tegas tanpa mengira pangkat dan kedudukan sebagai pengajaran kepada semua.

Ini kerana keselamatan negara bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan. Lebih-lebih lagi ia melibatkan harta negara! Kita tidak mahu berulangnya tragedi kehilangan atau penyelewengan harta negara sebagaimana yang berlaku sebelum ini yang akhirnya tenggelam dan senyap begitu sahaja apabila dicetuskan isu yang baru untuk mengalih perhatian rakyat.

Ingat! Kalau jenayah ini tidak ditangani dengan baik dan bersungguh-sungguh, kita bimbang selepas ini enjin kereta kebal atau kipas kapal selam pula yang hilang!!

Dosa-dosa Mustafa Kamal Attaturk..


Mustafa Kamal Attaturk

Dosa-dosa yang dilakukan oleh Mustafa Kamal Attaturk terhadap Islam dan umat Islam yang tidak dapat dilupakan :

1. Menghapuskan Khilafah Islamiyah.

2. Mewartakan pengasingan agama daripada pemerintahan Negara.

3. Menutup mahkamah-mahkamah syariah.

4. Menghapuskan jawatan Menteri Syariah dan Menteri Auqaf.

5. Menghalau keluar Khalifah Abdul Majid Ke-2 serta semua ahli kelurganya dari Turki.

6. Menggubal satu undang-undang (Februari 1925) yang berbunyi ; “Mana-mana individu yang cuba menubuhkan pertubuhan politik yang menjadikan Islam sebagai dasar atau menampakkan ciri-ciri keislaman, juga yang menyertai pertubuhan tersebut dikira sebagai ‘Pengkhianat Negara’. Begitu juga individu-individu yang cuba mengkritik kerajaan. Hukumannya ialah bunuh tanpa sebarang siasatan lanjut.” Natijahnya, semua pemimpin pertubuhan yang dikira berhaluan kiri ditangkap dan dikenakan hukuman bunuh tanpa ada bukti yang sah dan tidak dibenarkan membuat sebarang rayuan atau menggunakan khidmat peguambela, sebagaimana yang tertakluk di dalam undang-undang jenayah sebelum itu.

7. Menghapuskan undang-undang Islam dan diganti dengan undang-undang Barat (Britain dan Perancis).

8. Menutup semua sekolah-sekolah agama dan diganti dengan sekolah-sekolah yang melaksanakan sistem pendidikan sekular. Pelajar-pelajar diasuh supaya membenci Islam dengan mengatakan bahawa Islamlah punca kemunduran Turki sebelum ini.

9. Mengharamkan penggunaan bahasa Arab dan penulisan dan komunikasi supaya bangsa Turki tidak mampu berhubung dengan bangsa Arab dan tidak memahami Al-Quran, Hadis dan isi kandungan kitab-kitab turath Islam. Azan juga mesti dilaungkan dalam bahasa Turki.Al-Quran dalam bahasa Arab dilupuskan dan diganti dengan Al-Quran dalam bahasa Turki.

10. Menghapuskan penggunaan Takwim Islam (Hijri) dan diganti dengan kelendar Barat (Masihi). Semua hari-hari kebesaran Islam juga dihapuskan. Hari Ahad dijadikan cuti mingguan menggantikan hari Jumaat.

11. Memaksa semua rakyat Turki mengubah nama mereka yang berasal daripada bahasa Arab atau nama yang mempunyai unsur-unsur Islamik kepada nama lain dalam bahasa Turki dan jauh dari makna Islamik tersebut.

12. Mengharamkan pemakaian Islam yang menutup aurat bagi wanita terutamanya tudung kepala dan niqab, serta menganjurkan hiburan-hiburan maksiat bagi merosakkan pemuda-pemuda Islam, melalaikan mereka dan menyekat kebangkitan mereka.

13. Mengharamkan pemakaian kopiah, serban, tarbus dan seumpamanya yang memperlihatkan adat dan budaya pemakaian Islamik bagi kaum lelaki.

14. Membentuk Undang-undang Kekeluargaan yang baru, yang memaksa semua institusi keluarga mengubah cara hidup tradisi yang dianggap kolot dan tidak bertamadun kepada cara hidup Barat.Contohnya, wanita tidak boleh dipaksa untuk mentaati suami dan diberi kebebasan mutlak dengan slogan ‘Kebebasan Wanita’ dan ‘Persamaan Hak’. Lelaki dan wanita tidak ada beza dalam mendapatkan hak pewarisan harta pusaka. Had umur tertentu ditetapkan bagi anak-anak yang mahu berkahwin. Manakala poligami dan talak diharamkan sama sekali.

15. Mengisytiharkan bahawa Ankara adalah ibu negara Republik Turki menggantikan Istanbul. Tujuan utamanya ialah untuk melenyapkan kenangan silam masyarakat Turki dan umat Islam seluruh dunia akan keagungan Kerajaan Turki Uthmaniyah.

16. Menutup Masjid Eithiopia dan Masjid Al-Fatih (masjid besar di Istanbul) dan dijadikan muzium selepas itu. Setelah kemasukan pelancong-pelancong Barat ke Turki, umat Islam ditegah sama sekali bersembahyang di dalamnya dengan alasan menghormati dan menjaga perasaan pelancong.

17. Melancarkan serangan pemikiran dengan memasukkan ideologi-ideologi Barat seperti Sekularisme, Komunisme, Nasionalisme, Liberalisme dan sebagainya.
(Dipetik daripada buku 'Gerakan Freemasonary, Musuh Dalam Menghancurkan Islam')

Umat Islam seharusnya tidak membiarkan malapetaka dan fitnah seumpama ini melanda mereka lagi atau agenda sepertinya diteruskan di negara-negara umat Islam. Sama-samalah kita berganding bahu menjunjung usaha ini sehingga Islam berdaulat di atas muka bumi…

Salam Idil Adha...


Salam Idil Adha diucapkan kepada pejuang-pejuang Islam yang sanggup berkorban untuk menegakkan agama Islam di atas muka bumi ini. Terutama mereka yang berjuang dalam Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Imbaulah pengorbanan nabi Ibrahim, nabi Muhammad dan para salafussoleh yang lalu di dunia yang bersifat sementara ini untuk mendapat redha Allah di akhirat yang kekal abadi…!

Setiap perjuangan menagih pengorbanan.Jangan mengharapkan pujian manusia kerana Allah SWT lebih mengetahui setiap pengorbanan yang kita lakukan.Semoga jihad & pengorbanan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.

Sentiasalah berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan kepada jiwa kita dalam mengharungi cabaran yang seterusnya sehinggalah Islam berdaulat di bumi ini…!

Tidak lupa juga untuk muslimin & muslimat di seluruh pelusuk dunia..

Rakyat Didahulukan ?!


KAMPUNG TANAM - Kira-kira 300 masyarakat Orang Asli Kampung Tanam, semalam, mengadakan bantahan kerana mendakwa kira-kira 21 hektar ladang kelapa sawit mereka dimusnahkan Pejabat Tanah dan Galian Pahang (PTG) serta Pejabat Tanah Daerah (PTD) Rompin.

:Pengerusi Bertindak Pembangunan Tanah Orang Asli, Othman Gundeh, 44, berkata, bantahan itu berikutan tindakan PTG dan PTD Rompin menceroboh serta memusnahkan ladang kelapa sawit mereka yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

:Menurutnya, pihak berkenaan memberi alasan tanah itu termasuk dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk tanaman nanas.


:“Kami masyarakat Orang Asli terkilan dengan tindakan pihak berwajib yang tidak berbincang dengan kami terlebih dahulu kerana hampir keseluruhan Orang Asli hanya bergantung harap kepada projek ekonomi seperti ini,” katanya pada sidang media, di sini.

:Beliau mendakwa, pihaknya kecewa dengan tindakan pihak berkenaan yang tidak berbincang serta tidak memberi sebarang notis kepada mereka sebelum memusnahkan tanaman terbabit.

:“Lebih menyedihkan kami langsung tidak diberi notis dan amaran awal serta peringatan pihak terbabit sedangkan perkara ini boleh dibawa berbincang antara pihak berwajib dan masyarakat Orang Asli,” katanya.

:Menurutnya, pada 20 sehingga 23 Oktober lalu, pihak berkenaan tiba-tiba masuk ke ladang kelapa sawit yang diusahakan mereka untuk memusnahkan semua hasil tanaman di kawasan itu.

:“Namun kami bernasib baik kerana berjaya menghalang tindakan mereka untuk memusnahkan kesemua kira-kira 162 hektar tanah kelapa sawit yang diusahakan lebih 60 keluarga penduduk Orang Asli di lima kampung masyarakat Orang Asli di sini,” katanya.

:Beliau turut kesal dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) kerana gagal membantu menangani masalah itu menyebabkan hal berkaitan tanah Orang Asli tidak dapat diselesaikan.

:“Orang Asli pernah mengadu hal itu kepada JHEOA, namun tidak diendahkan menyebabkan perkara ini berlarutan sehingga kini,” kata Othman. -Sumber Sinar Harian.

Ini merupakan satu lagi episod malang yang dialami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan yang berslogankan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Ubahlah nasib anda dengan mengubah kerajaan dalam PRU Ke-13 akan datang...

Iktibar Dari Burung Kecil


Seekor burung kecil berusaha berkali-kali untuk memadamkan api yang sedang marak membakar nabi Ibrahim alaihissalam dengan menitiskan air dari paruhnya yang kecil. Apabila ditanya oleh rakan-rakannya mengapa dia melakukannya sedangkan setitis air tidak memberi apa-apa kesan kepada api yang sedang marak menyala itu, katanya “Aku tidak mahu dipersoal di akhirat nanti.Jika Allah bertanya kepadaku sekurang-kurangnya aku boleh menjawab yang aku telah menolong menurut kemampuan yang ada padaku. Tidak sekadar memandang dari dahan pokok yang jauh dari bahang api itu”

Sahabat… Jadilah seperti burung kecil itu dalam usaha memadamkan api kezaliman UMNO & Barisan Nasional !

Perjuangan Hidup Mesti Diteruskan

Bulan Ramadan telah melabuhkan tirainya. Berlalu dengan seribu satu kenangan manis bagi mereka yang merebut peluang beribadah dan memperbanyakkan amalan.Walaupun ‘jadualnya’ dilihat agak padat dengan di siang hari diwajibkan berpuasa di samping galakan amalan-amalan sunat. Di malam harinya pula disunatkan bersolat terawih selain bertadarrus, tazkirah dan pelbagai lagi ibadah yang sunat.Namun kelazatan dan kenikmatan beribadah menghilangkan segala kepenatan dan keletihan. Itulah anugerah awal dari Allah SWT di dunia!

Sebaliknya mereka yang tidak merebut peluang keemasan ini akan bersarang dalam dirinya seribu satu penyesalan yang bagaimana hebat pun seseorang itu, dia tidak mampu mengembalikan semula waktu yang sudah berlalu.Itupun kalau dia memiliki apa yang disebut oleh Allah sebagai ‘Nafs Lawwamah’ (jiwa yang sentiasa menegur dan menempelak dirinya sendiri semasa ia berbuat baik atau berbuat jahat. Ketika berbuat baik, ia menempelak dirinya mengapa dia tidak membuat yang lebih banyak. Sebaliknya kalau dia melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi tempelak dan sesalnya).

Namun perlu menjadi muhasabah bersama ialah ibadah dan amalan yang dibuat sepanjang sebulan Ramadan itu tidak seharusnya berakhir dengan berakhirnya Ramadan.Ianya perlu diteruskan setelah diri ‘terbiasa’ dengan amalan yang dilakukan dalam tempoh sebulan latihan.Kalau pun tidak sehebat amalan dalam Ramadan, sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dapat dipraktikkan dalam bulan-bulan yang berikutnya.

Contohnya, solat berjamaah di masjid/surau dan membaca Al-Quran. Kalau di bulan Ramadan dapat membaca Al-Quran satu juzuk dalam masa satu hari, setidak-tidaknya pada bulan yang lain Al-Quran masih dapat dibaca walaupun satu mukasurat sehari.Biarlah bacaan Al-Quran menjadi salah satu aktiviti dalam jadual harian hidup kita.

Kalau pun kita dah khatam Al-Quran dalam bulan Ramadan yang lalu, ulang semula bacaan selepas Ramadan…, atau tak sempat nak habiskan tiga puluh juzuk dalam Ramadan yang lalu, sambunglah semula lepas Ramadan.Jangan jadikan ibadah kita seperti buah durian, duku dan manggis yang hanya datang secara bermusim !

Lebih-lebih lagi mereka yang memikul amanah Allah menyampaikan dakwah dan berjihad. Keperluan untuk mendampingi Al-Quran adalah lebih dituntut dibandingkan dengan orang lain.Ini kerana dalam melaksanakan tugas yang mulia ini, mereka pasti akan menempuhi pelbagai ujian dan cabaran .

Bagaimana hebat pun kita, bagaimana bersemangat pun kita, bagaimana bijak pun kita, bagaimana berani pun kita, bagaimana jauh pun pandangan kita………….Kita masih tidak mampu berdepan dengan cabaran yang bakal tiba kerana kita masih berlegar di dalam kotak yang namanya makhluk. Maka pergantungan kita tetap kepada Allah.Apatah lagi apabila tugas yang dipikul itu ialah membawa risalah Allah, agak pelik dan janggal jika tidak ada atau kurang pergantungan kepada Allah.

Maka bacaan Al-Quran, belajar dan mengkaji isi kandungannya serta ibadah-ibadah yang dilakukan ini adalah sebagai pergantungan kita kepada rahmat dan bantuan dari Allah SWT. Disamping bertindak sebagai penawar dan penyubur kepada iman dan aqidah kita.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ : 82 yang bermaksud ; “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya..”

Firman Allah SWT dalam surah Yunus : 57 yang bermaksud ; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang telah menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan menjadi hidayah untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Firman Allah SWT dalam surah Taha : 2-3 yang bermaksud ; “Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menaggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah”.

Sama-samalah kita renungkan kata-kata dua ilmuan agung Islam di bawah ini :

Berkata Ibrahim Al-Khawwas : “Lima perkara menjadi penawar bagi hati ;
1.Membaca Al-Quran dengan tadabbur
2.Mengosongkan perut (dengan berpuasa)
3.Solat di tengah malam
4.Berfikir/beristighfar ketika waktu sahur
5.Duduk bersama orang soleh.

Abu Laits As-Samarqandi berkata :”Kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan diri dengan empat perkara :

1. Menjaga solatnya
2. Memperbanyakkan bersedekah
3. Membaca al-Quran
4. Memperbanyakkan bertasbih kerana dengan memperbanyakkan bertasbih, akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Ya Allah! Bantulah kami untuk kami sentiasa mengingatiMu, mensyukuri nikmat anugerahMu, memperelokkan ibadah kami kepada Mu dan bersungguh-sungguh memperjuangkan agamaMu…


Salam Idil Fitri diucapkan…
kepada rakan-rakan exco DPPK Rompin
kepada saf kepimpinan Pas Kawasan Rompin
kepada rakan-rakan exco DPPN Pahang
kepada semua guru-guru yang telah banyak menabur jasa
kepada seluruh tenaga pengajar PASTI Daerah Rompin
kepada semua muslimin & muslimat di Parlimen Rompin khasnya
dan di seluruh dunia amnya…

Semoga segala ibadah & amalan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan dapat mengubati serta memberi kekuatan kepada jiwa kita, dalam mengharungi cabaran yang seterusnya sehinggalah Islam berdaulat di bumi ini…!

AL-QURAN FOR ALL (Part 2)



Tidak disangkal lagi di kalangan umat Islam bahawa Al-Quran Al-Karim merupakan kitab Allah yang menjadi rujukan utama bagi agama Islam itu sendiri. Bahkan ianya menjadi salah satu daripada rukun iman yang mesti diyakini tanpa syak dan ragu.

Namun, perlu difahami bahawa kitab suci Al-Quran, walaupun terdapat banyak hadis yang memerintahkan kita supaya membacanya.Tapi ianya bukan sekadar perlu dibaca. Tetapi mestilah dihayati dalam seluruh kehidupan setiap apa yang difirmankan.

Baru-baru ini ketika saya dalam perjalanan pulang dari satu program ke rumah, memandu bersendirian pada waktu hampir tengah malam. Kebiasaannya saya akan mendengar cd audio atau pilih salah satu channel radio sebagai teman ketika memandu.
Kebetulan pada waktu itu, seingat saya sehari sebelum Ramadan atau hari pertama Ramadan, saya terdengar satu forum ehwal Islam yang tajuknya berkisar tentang penghayatan Ramadan dari salah satu saluran radio yang ada dalam negara kita.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kepada salah seorang ahli panel yang mengupas isu ini dengan mengatakan, “Ramadan adalah satu bulan yang dikenali dengan nama ‘Syahrul Quran’ atau maknanya Bulan Al-Quran kerana di dalamnya pernah diturunkan Al-Quran. Maka kita umat Islam perlu menghayati bulan ini dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran. Tapi ada setengah pihak yang bila tiba bulan Ramadan mereka sibuk untuk mengadakan tazkirah, kuliah dan sebagainya. Itu satu tindakan yang tidak betul kerana Imam Malik (pengasas Mazhab Maliki) yang mengajar pelbagai jenis ilmu Islam di masjid nabawi pun, bila tiba bulan Ramadan beliau akan menangguhkan kelas pengajian hadis, feqah dan sebagainya dan memberi tumpuan kepada tadarus Al-Quran !.”

Ini antara petikan ucapan atau mafhum dari huraian beliau. HAIRAN !!! Bagaimana kefahaman seperti ada pada orang yang bertitle ustaz atau tokoh agama! Saya ingin mengajak saudara pembaca cuba berfikir tentang beberapa perkara yang saya nyatakan di bawah ini ;

1) Kalau kita perhatikan di dalam Al-Quran Al-Karim terdapat terlalu banyak ayat yang memerintahkan kita menyampaikan tazkirah (peringatan) sebagai contoh di dalam surah Az-Zariyaat : 55 yang bermaksud ;
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman”

Adakah perintah memberi peringatan ini dikhususkan pada bulan-bulan tertentu sahaja? Atau terdapat larangan untuk bulan-bulan tertentu?

2) Bukankah Allah menyebut di dalam Al-Quran antara salah satu ciri golongan yang tidak rugi pada hari akhirat ialah “orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” surah Al-Asr: ayat 3.

3) Allah perintahkan kita membaca Al-Quran tidak hanya terhenti kepada membacanya sahaja. Bahkan membaca Al-Quran adalah langkah pertama untuk memahami dan menghayati isi kandungannya. Ini kerana matlamat penurunan Al-Quran itu adalah sebagai hidayah dan petunjuk bagi kehidupan manusia. Bagaimana seseorang itu boleh menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupannya walhal dia tidak tahu apa yang terkandung di dalam Al-Quran itu sendiri.

Sebagai satu contoh, seseorang yang ingin memasak satu resepi makanan berpandukan Buku Resepi Masakan. Dia pandai mengeja dan membaca, tapi tidak tahu menahu tentang bahan-bahan yang disebut dalam buku tersebut.Dia dapat membaca perkataan yang tertulis seperti lada, jintan manis, bunga kantan dan lain-lain tetapi tidak tahu apa itu lada, jintan manis, bunga kantan dan sebagainya.Bahkan dia boleh menghafal bahan-bahan yang dieja ini. Bagaimana kesudahan masakannya ?!

Sudah tentu dia memerlukan seseorang untuk menjelaskan maksud bahan-bahan itu dan memberi tunjuk ajar bagaimana cara bahan-bahan itu diadun. Inilah di antara matlamat tazkirah disampaikan. Menghurai dan menjelaskan isi kandungan Al-Quran atau dengan kata lain, menyatakan yang benar itu benar dan salah itu salah menurut neraca Al-Quran Al-Karim.

4) Diriwayatkan dalam satu hadis yang mafhumnya “Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah, dan diamnya adalah tasbih…”. Kalaulah diam dari mengeluarkan kata yang keji pun diberi pahala seumpama mengucapkan tasbih. Apakah menjelaskan Islam kepada masyarakat di bulan yang mulia ini termasuk perkara yang salah dan sia-sia ?!

5) Bukankah kita digalakkan untuk beriktikaf di rumah-rumah Allah, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan?. Maka, memberi dan mendengar tazkirah di masjid adalah termasuk iktikaf yang akan diberi ganjaran pahala insyaAllah…

6) Perbandingan dengan tindakan Imam Malik rahimahullah adalah tidak tepat kerana di zaman beliau masyarakat memiliki kesedaran yang tinggi tentang ilmu dan hidup beragama. Sehingga diriwayatkan bahawa khalifah yang memerintah pada waktu sangat cintakan ilmu dan majlis-majlis ilmu.Adapun di zaman mutakhir ini, nak harap masyarakat ramai sikit datang ke masjid dan surau pada bulan Ramadanlah. Maka diambil kesempatan untuk memberi kesedaran dan penjelasan tentang Islam kepada mereka.

7) Allah SWT yang memerintahkan supaya memberi peringatan (tazkirah) dengan Al-Quran sebagaimana firmanNya :

“Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakana (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad) dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu”. –Surah Qaaf : 45.

Justeru, dalam membaca Al-Quran Al-Karim, kita mestilah memperbetulkan niat atau dengan kata lain, mempelbagaikan niat daripada membaca kerana nak dapat pahala kepada membaca Al-Quran untuk mempelajari dan mengetahui isi kandungannya. Dalam masa yang sama, cuba semampu mungkin untuk mempraktikkan apa yang telah difahami tersebut.Kalau dapat, cuba pula mendalami rahsia-rahsia mukjizat Al-Quran melalui kajian para ulama’ untuk menambahkan lagi keyakinan kepada keagungan Kalam Allah ini.

Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami kefahaman Islam yang syumul, serta terimalah segala amal ibadah kami…

Tawaran Hebat !!

Memaksimumkan Sumbangan Untuk Jamaah


TIDAK ada yang lebih berharga untuk kita sumbangkan kepada Islam melainkan bekerja dengan jamaah dan melalui jamaah. Pendekatan jamaah selain dituntut oleh Islam, merupakan cara yang paling efektif untuk merealisasikan matlamat menegakkan negara berlandaskan syariat Islam.

Dalam jamaah terkumpul individu-individu yang memiliki persamaan, kemudian persamaan itu diikat dalam ikatan yang besar, umpama lidi, jika satu mudah dipatahkan, maka bila sudah banyak, diikat menjadi satu ikatan yang kukuh dan padu, justeru kekuatannya boleh menyapu bersih apa juga jenis sampah yang ada. Kekuatan yang terbina itu akan menjadi momentum untuk meletakkan ummah di tempat yang sewajarnya dan digeruni.

Kita hidup dalam masyarakat yang sangat arif bahawa kekuatan ummah itu hanya akan terbina sekiranya organisasi itu dipacukan oleh kesepakatan para jamaah. Itu merupakan kata kunci yang jelas dan tidak boleh ditawar menawar. Kekuatan individu pastinya masih ada keterbatasannya dan keterbatasan itu hanya boleh diperlengkapkan dengan kekuatan-kekuatan yang ada pada individu yang lain.

Kesedaran Mendalam.

Pilihan untuk bekerja di dalam dan melalui jamaah hanya lahir dari kesedaran mendalam, tapi kesedaran saja tidak cukup melainkan disertai persyaratan psikologis lain seperti kesedaran bahawa, kita adalah bahagian dari fungsi pencapaian tujuan.

Jadi sehebat apa pun seseorang individu, dia tidak boleh merasa lebih besar daripada strategi dimana ia merupakan salah satu bahagiannya. Jika ada individu yang terasa ia lebih besar dari strategi jamaah, maka strategi akan beratakan. Untuk itu individu harus memiliki kerendahan hati yang tulus.

Selain itu, ketaatan kepada pemimpin jamaah haruslah diletakkan pada urutan terpenting. Pemimpin akan menjadi efektif apabila memiliki prajurit-prajurit yang taat dan setia. Ketaatan dan kesetiaan adalah inti keprajuritan. Bila kita memasuki jamaah, kita harus bersiap untuk menjadi taat dan setia.

Namun, kreativiti tidak bertentangan dengan ketaatan dan kesetiaan; kita harus mengabungkan ketaatan dengan kreativiti kerana ketaatan lahir dari disiplin dan komitmen, sementara kreativiti lahir dari kecerdasan dan kelincahan. Dan itu merupakan perpaduan yang utuh.

Selanjutnya, bekerjasama walaupun berbeza. Perbedaan merupakan tabiat kehidupan yang tidak dapat dimatikan oleh jamaah. Perbedaan opini tidak sama dengan perpecahan, dan kerana itu kita tetap bersatu walaupun kita berbeda.

Jamaah yang efektif adalah jamaah yang upaya melontarkan idea-idea yang bernas kemudian merealisasikannya. Sementara kemampuan memunculkan idea-idea yang terbaik dan bernas itu lahirnya dari beberapa elemen; sasaran yang jelas, strategi yang tepat dan pelaku yang bekerja dengan penuh semangat dan berada dalam lingkungan strategi yang kondusif.

Jamaah yang didirikan untuk menegakkan syariat Allah SWT di muka bumi, akan menjadi efektif apabila ia memiliki syarat-syarat berikut:

Bukan Kepentingan Diri.

Pertama, ikatan aqidah, bukan kepentingan. Orang yang bergabung dalam jamaah itu disatukan oleh ikatan aqidah, dan bekerja untuk kepentingan Islam. Mereka tidak disatukan oleh kepentingan duniawi yang biasanya lahir dari kekuatan nafsu.

Kedua, jamaah itu sarana, bukan tujuan. Jamaah itu tetap diposisikan sebagai sarana, bukan tujuan. Sehingga tiada alasan untuk memupuk fanatisme kesetiaan kepada kumpulan tertentu. Hilangnya fanatisme memungkinkan jamaah itu saling bekerjasama di antara mereka, membangun jaringan kekuatan, seterusnya menghindarkan diri dari terjebak dalam pertarungan yang saling mematikan.

Ketiga, sistem, bukan tokoh. Jamaah akan menjadi efektif jika orang yang ada di dalamnya bekerja dengan sebuah sistem yang jelas, bukan bekerja dengan seseorang yang berfungsi sebagai sistem. Pemimpin dan prajurit hanyalah bahagian dari strategi. Manakala sistem adalah sesuatu yang terpisah.

Keempat, mengelola perbedaan, bukan mematikannya. Jamaah yang efektif mampu merubah keragaman menjadi sumber kreativiti kolektifnya. Dan itu dilakukan melalui mekanisme syura.

Selamat bermuktamar!_

AL-QURAN FOR ALL (Part 1)

Antara tanda yang membuktikan rahmatnya Allah SWT terhadap hamba-hambanya ialah apabila dibekalkan kepada mereka ‘buku panduan’. Sesuatu yang bertindak memandu dan membimbing kehidupan manusia ke jalan yang baik dan selamat. Sumber rujukan dalam menentukan halal/haram atau baik/buruk sesuatu perkara.Walaupun manusia telah diberi keistimewaan dengan dikurniakan akal fikiran. Dengannya manusia dapat berfikir baik atau buruknya satu-satu perkara itu.

Pun begitu, manusia tetap manusia. Sarat dengan kelemahan dan kecacatan kerana manusia tetap bergelar hamba.Beberapa ayat di bawah dapat menjelaskan kepada kita hakikat sebenar manusia ;

1) Maksud surah An-Nisa’ : ayat 28 ; “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah”.

2) Maksud surah Al-Balad : ayat 4 ; “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)”.

3) Maksud surah Al-Ma’arij : ayat 19-22 ; “ Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir, Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat…”

Apabila itulah hakikat kejadian manusia, maka Allah SWT dengan limpah kurniaNya tidak membiarkan manusia yang kadang-kala bertuhankan hawa nafsu mengurus tadbir diri mereka sendiri. Ini adalah kerana, di antara unsur kejadian manusia ialah nafsu dan ada kalanya akal fikiran mereka ‘dibutakan’ oleh kehendak diri dan hawa nafsu dari melihat kebenaran. Maka Allah SWT menurunkan kitab suci Al-Quran melalui nabi yang diutuskan adalah penyelamat dan penawar yang paling mujarab bagi ‘menyuluh dan mencelikkan’ kembali jiwa manusia. Sekaligus membantu akal manusia berfikir dengan waras dan tepat.

Kalaulah untuk mentadbir diri pun, Allah SWT tidak membenarkan manusia menggunakan akal fikiran semata-mata.Apatah lagi untuk mengurus tadbir keluarga, masyarakat, negara dan alam ini.Sudah tentu Al-Quran lah yang mesti dijadikan rujukan dan panduan bagi memandu akal fikiran manusia ke arah jalan kebaikan.

Jika tidak, segala masalah yang cuba diselesaikan oleh manusia tanpa merujuk kepada Al-Quran.Samada ianya berlaku dalam negara, masyarakat atau institusi keluarga sekalipun akan menemui kegagalan dan segala kekusutan akan menemui jalan buntu...!




Jahil Murakkab Vs. Jahat Murakkab (Jahat Maksima)

Baru-baru ini ketika sedang asyik melayari internet, saya terbaca satu artikel yang agak menarik perhatian saya. JAHIL MURAKKAB…Walaupun tajuknya ntah ape-ape dan isi kandungannya pun lagi tak ketahuan apa kaitannya dengan tajuk, tapi saya rasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara berhubung apa yang ditulis.

Pertama, apa makna jahil murakkab..?!. Jahil berasal dari perkataan Arab yang memberi makna tidak mengetahui, bodoh atau cetek pengetahuan. Murakkab juga adalah perkataan Arab yang memberi maksud berganda. Maka, jahil murakkab memberi maksud jahil yang berganda (Kamus Dewan).

Istilah Jahil Murakkab digunakan kepada orang yang jahil/tidak tahu tentang sesuatu perkara dan juga jahil/tidak tahu yang dia dalam kejahilan.Maka, kebiasaannya orang ini tidak akan cuba berusaha untuk memahami dan lebih malang, tidak menerima tunjuk ajar dan nasihat orang lain kepadanya.

Kedua, orang yang melakukan persidangan dun Perak di bawah pokok dituduh sebagai jahil murakkab… Jangan terlalu gelojoh melabel seseorang atau sesuatu pihak dengan istilah-istilah tertentu tanpa usul periksa dan pertimbangan yang waras...! Beberapa persoalan perlu dijawab terlebih dahulu..Kenapa mereka bersidang di bawah pokok? Siapa mereka ini, penjaja pasar malam ker? Atau pekerja kilang ker? Atau pengawal keselamatan ker? Atau ADUN ker? Kalau mereka ini ADUN-ADUN yang dipilih oleh rakyat, kenapa tak bersidang di dalam dewan undangan negeri sebagaimana biasa semenjak mereka bergelar YB? Atau kerana mereka dihalang dari memasuki dewan? Kalau benarlah mereka dihalang, SAMSENG mana yang menghalang kerana mereka ini menang dan layak memerintah melalui undian rakyat kepada mereka dalam pilihanraya umum yang lalu.Bukan berkuasa dengan sebab melakukan revolusi atau rampasan kuasa !!

Maka, persoalannya sekarang ialah siapa sebenarnya yang jahil….Orang yang bertindak menghalang ini tahu atau sebenarnya jahil tentang perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak. Pakar perlembagaan Malaysia, Prof Dr. Aziz Bari mengatakan bahawa Dato’ Seri Nizar masih MB Perak yang sah dan ini diakui sendiri oleh beberapa tokoh pimpinan UMNO seperti Ku Li dan Tun Mahathir (sebelum ianya diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi).

Bila membaca artikel tersebut, kadang-kadang rasa lucu dan gelihati pun ada jugak.Contohnya bila disebut pendokong parti yang memperjuangkan Islam sebagai munafiq.Tindakan mereka disebut sebagai kemunafikan.Yang tukang label tu pulak daripada parti hidup melayu.Sebuah parti yang semenjak ianya ditubuhkan, boleh disenaraikan berapa banyak tindakan yang dibuat membelakangkan Islam.Bahkan, adakalanya boleh dikategorikan sebagai menolak dan menentang ajaran suci Islam.

Bukankah ada pemimpin mereka yang telah berusaha menghapuskan perkataan Islam daripada mana-mana parti dan pertubuhan dalam negara ini ?!

Bukankah ada pemimpin mereka yang bertanggungjawab merobohkan masjid, rumah Allah ?!. Sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud; ”Dan siapakah yang lebih zalim dari orang-orang yang menyekat dan menghalang dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk merobohkan masjid-masjid itu….” –Al- Baqarah : 114.

Bukankah pemimpin mereka yang bertanggungjawab menggubal beberapa undang-undang yang jelas bercanggah dengan syariat Islam seperti Akta ISA dan sebagainya?!.

Bukankah ada di kalangan alim ulama’ mereka, bahkan keseluruhan mereka hanya membisu dan memekakkan telinga apabila pemimpin mereka menutur atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam ?!. Sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud; ”…Dan siapakah yang lebih zalim dari orang yang menyembunyikan keterangan yang telah diberikan Allah kepadanya…”-Al-Baqarah : 140.

Bukankah ada di kalangan pemimpin mereka yang berani mencabar hukum hudud dari dilaksanakan dalam negara ini ?!.

Bukankah ada pemimpin mereka yang pernah menghina sunnah junjungan besar nabi Muhammad SAW ?!.

Bukankah ada pemimpin mereka yang menokok tambah ajaran Islam yang telah disempurnakan oleh Allah dan mendakwa itulah Islam yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang?!. Sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan siapakah yang lebih zalim dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang zalim itu tidak akan berjaya”- Al-An’am : 21.

Bukankah, bukankah, bukankah dan berapa banyak persoalan lagi boleh diutarakan yang kesemuanya menunjukkan kebobrokan dan kejahatan mereka..!

Maka nasihat saya, sebelum mengatakan muka orang lain hodoh, ambil tudung periuk dan telek muka sendiri dulu. Kalau tak nampak jugak, masukkan kepala ke dalam periuk tu.. Jangan sekadar nak jaga periuk nasi jer…

Ya Allah ! Berilah hidayah petunjukMu kepada kaum bangsaku agar mereka kembali kepada fitrah Islam..

Manusia Punya Angkara, Babi Dapat Selsema

Beberapa minggu kebelakangan ini dunia digemparkan dengan sejenis penyakit pelik yang belum pernah didengar dan mungkin belum ada dalam kamus perubatan sebelum ini.Sebagaimana penyakit pelik yang wujud di akhir zaman sebelum ini seperti Aids, penyakit lembu gila dan selsema burung. Kini wabak yang baru sahaja muncul tiba-tiba ‘menggila’ sehingga kini menyebabkan ribuan manusia telah menjadi mangsanya di seluruh dunia….SELSEMA BABI !
Satu lagi perkara yang perlu dilihat sebagai bala dan peringatan daripada Allah berpunca kelalaian manusia dan kekufuran mereka terhadap Pencipta mereka. Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah ;

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. –Ar-Ruum :41.

Sekaligus membuktikan betapa benarnya ajaran Islam yang telah sekian lama mensyariatkan pengharaman daging babi. Inilah juga syariat nabi Isa a.s.(sebelum diselewengkan oleh orang-orang Kristian). Firman Allah SWT ;

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah, tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, Maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” –Al-Baqarah : 173.

Bagi orang yang beriman, fenomena ini menguatkan lagi keyakinan mereka akan kebenaran agama Islam.Sebagaimana yang disebut oleh para ulama’:”Setiap perkara disuruh oleh agama adalah perkara yang membawa kebaikan, walaupun kita tidak mampu melihat kebaikannya. Perkara yang dilarang oleh agama adalah sesuatu yang membawa mudarat, walaupun kita belum mampu melihat keburukannya”.
Apa yang sepatutnya berlaku ialah perkara yang terjadi ini perlu diambil pengajaran dan dijadikan peluang untuk kembali kepada fitrah agama Islam. Tetapi apa yang berlaku kepada penyakit ini, seolah-olah ingin menutup keburukan penyakit ini atau dengan lebih tepat, keburukan punca penyakit ini.
Ini dapat dilihat apabila nama penyakit ini pada peringkat awal dinamakan Selsema Babi, tiba-tiba ditukar kepada nama Influenza A H1N1 (nama yang menyusahkan juruhebah dan pembaca berita menuturnya!). Sama sepertimana apa yang berlaku kepada perkataan (anak zina – anak tidak sah taraf), (rasuah- politik wang) dan seumpamanya supaya perbuatan keji ini tidak dilihat jijik dan sesuatu yang harus dijauhi.Sebaliknya menjadi perkara yang biasa dalam masyarakat.
Ya Allah! Peliharalah kami dari kemurkaanMu…..

Manfaatkan Peluang Untuk Sampaikan Islam

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT yang mengurniakan kita nikmat Iman dan Islam.Lebih-lebih lagi berada dalam satu jamaah Islam yang secara langsung atau tidak langsung dapat mendidik dan memelihara diri kita.Hanya terpulang kepada diri kita samada mahu mengambil manfaat dari kebaikan yang ada dalam jamaah itu atau tidak.

Lihat sahajalah kepada program-program yang diatur dan menjadi agenda bulanan atau tahunan di semua peringkat.Bermula daripada cawangan, kawasan, negeri mahupun pusat.Dewan ulama’, dewan pemuda, dewan muslimat dan nisa’.Kesemuanya berpaksikan Islam dan apabila ianya berpaksikan Islam kesemuanya akan menjurus kepada kebaikan.Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan lagi !

Inilah perbezaan di antara Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan yang lain.Pas bukan sekadar Islam pada namanya, tetapi menjadikan Islam dasar perjuangan serta dalam segala pendekatan yang diambil.
Oleh kerana itu, segala kemudahan yang ada pada hari ini hendaklah dijadikan jambatan bagi menghubungkan manusia dengan Islam.Samada penerangan itu kepada masyarakat umum, musuh politik atau kepada ahli Pas sendiri.

Bagaimana kita melihat nabi-nabi dan rasul-rasul mengambil setiap peluang dan ruang yang ada untuk menyampaikan Islam.Nabi Yusuf a.s. walaupun ketika sedang merengkok dalam penjara masih mengambil kesempatan untuk menerangkan konsep tauhid kepada dua orang pemuda yang dipenjara bersama-sama baginda.Nabi Muhammad s.a.w. selain daripada tidak henti-henti berdakwah, mengambil peluang sewaktu masyarakat Arab berduyun-duyun datang ke kota Mekah pada musim haji untuk memberi penerangan kepada mereka tentang kemurniaan ajaran Islam.

Mudah-mudahan kita diberikan kebijaksanaan oleh Allah ArRabbul Jalil agar dapat manfaatkan segenap ruang dan peluang yang ada untuk kebaikan diri kita dan orang lain.

Tercipta Dengan InayahNya

Alhamdulillah....Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya tercipta blog yang tak seberapa ini.Walaupun kehadirannya tidak disedari tetapi diharapkan dapat memeriahkan lagi medan dakwah di tanahair tercinta ini.

Jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang memberi perangsang dan tunjuk ajar sehingga wujudnya blog ini.

Salam ukhuwwah Islamiyah dihulur pembuka tirai......
 
Copyright @ 2008 BabMusalla: 2009 | Original Template By Orca Wave Wordpress | Modified By iEn | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top