Perjuangan Hidup Mesti Diteruskan

Bulan Ramadan telah melabuhkan tirainya. Berlalu dengan seribu satu kenangan manis bagi mereka yang merebut peluang beribadah dan memperbanyakkan amalan.Walaupun ‘jadualnya’ dilihat agak padat dengan di siang hari diwajibkan berpuasa di samping galakan amalan-amalan sunat. Di malam harinya pula disunatkan bersolat terawih selain bertadarrus, tazkirah dan pelbagai lagi ibadah yang sunat.Namun kelazatan dan kenikmatan beribadah menghilangkan segala kepenatan dan keletihan. Itulah anugerah awal dari Allah SWT di dunia!

Sebaliknya mereka yang tidak merebut peluang keemasan ini akan bersarang dalam dirinya seribu satu penyesalan yang bagaimana hebat pun seseorang itu, dia tidak mampu mengembalikan semula waktu yang sudah berlalu.Itupun kalau dia memiliki apa yang disebut oleh Allah sebagai ‘Nafs Lawwamah’ (jiwa yang sentiasa menegur dan menempelak dirinya sendiri semasa ia berbuat baik atau berbuat jahat. Ketika berbuat baik, ia menempelak dirinya mengapa dia tidak membuat yang lebih banyak. Sebaliknya kalau dia melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi tempelak dan sesalnya).

Namun perlu menjadi muhasabah bersama ialah ibadah dan amalan yang dibuat sepanjang sebulan Ramadan itu tidak seharusnya berakhir dengan berakhirnya Ramadan.Ianya perlu diteruskan setelah diri ‘terbiasa’ dengan amalan yang dilakukan dalam tempoh sebulan latihan.Kalau pun tidak sehebat amalan dalam Ramadan, sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dapat dipraktikkan dalam bulan-bulan yang berikutnya.

Contohnya, solat berjamaah di masjid/surau dan membaca Al-Quran. Kalau di bulan Ramadan dapat membaca Al-Quran satu juzuk dalam masa satu hari, setidak-tidaknya pada bulan yang lain Al-Quran masih dapat dibaca walaupun satu mukasurat sehari.Biarlah bacaan Al-Quran menjadi salah satu aktiviti dalam jadual harian hidup kita.

Kalau pun kita dah khatam Al-Quran dalam bulan Ramadan yang lalu, ulang semula bacaan selepas Ramadan…, atau tak sempat nak habiskan tiga puluh juzuk dalam Ramadan yang lalu, sambunglah semula lepas Ramadan.Jangan jadikan ibadah kita seperti buah durian, duku dan manggis yang hanya datang secara bermusim !

Lebih-lebih lagi mereka yang memikul amanah Allah menyampaikan dakwah dan berjihad. Keperluan untuk mendampingi Al-Quran adalah lebih dituntut dibandingkan dengan orang lain.Ini kerana dalam melaksanakan tugas yang mulia ini, mereka pasti akan menempuhi pelbagai ujian dan cabaran .

Bagaimana hebat pun kita, bagaimana bersemangat pun kita, bagaimana bijak pun kita, bagaimana berani pun kita, bagaimana jauh pun pandangan kita………….Kita masih tidak mampu berdepan dengan cabaran yang bakal tiba kerana kita masih berlegar di dalam kotak yang namanya makhluk. Maka pergantungan kita tetap kepada Allah.Apatah lagi apabila tugas yang dipikul itu ialah membawa risalah Allah, agak pelik dan janggal jika tidak ada atau kurang pergantungan kepada Allah.

Maka bacaan Al-Quran, belajar dan mengkaji isi kandungannya serta ibadah-ibadah yang dilakukan ini adalah sebagai pergantungan kita kepada rahmat dan bantuan dari Allah SWT. Disamping bertindak sebagai penawar dan penyubur kepada iman dan aqidah kita.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ : 82 yang bermaksud ; “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya..”

Firman Allah SWT dalam surah Yunus : 57 yang bermaksud ; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang telah menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan menjadi hidayah untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Firman Allah SWT dalam surah Taha : 2-3 yang bermaksud ; “Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menaggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah”.

Sama-samalah kita renungkan kata-kata dua ilmuan agung Islam di bawah ini :

Berkata Ibrahim Al-Khawwas : “Lima perkara menjadi penawar bagi hati ;
1.Membaca Al-Quran dengan tadabbur
2.Mengosongkan perut (dengan berpuasa)
3.Solat di tengah malam
4.Berfikir/beristighfar ketika waktu sahur
5.Duduk bersama orang soleh.

Abu Laits As-Samarqandi berkata :”Kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan diri dengan empat perkara :

1. Menjaga solatnya
2. Memperbanyakkan bersedekah
3. Membaca al-Quran
4. Memperbanyakkan bertasbih kerana dengan memperbanyakkan bertasbih, akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Ya Allah! Bantulah kami untuk kami sentiasa mengingatiMu, mensyukuri nikmat anugerahMu, memperelokkan ibadah kami kepada Mu dan bersungguh-sungguh memperjuangkan agamaMu…


Salam Idil Fitri diucapkan…
kepada rakan-rakan exco DPPK Rompin
kepada saf kepimpinan Pas Kawasan Rompin
kepada rakan-rakan exco DPPN Pahang
kepada semua guru-guru yang telah banyak menabur jasa
kepada seluruh tenaga pengajar PASTI Daerah Rompin
kepada semua muslimin & muslimat di Parlimen Rompin khasnya
dan di seluruh dunia amnya…

Semoga segala ibadah & amalan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan dapat mengubati serta memberi kekuatan kepada jiwa kita, dalam mengharungi cabaran yang seterusnya sehinggalah Islam berdaulat di bumi ini…!

AL-QURAN FOR ALL (Part 2)



Tidak disangkal lagi di kalangan umat Islam bahawa Al-Quran Al-Karim merupakan kitab Allah yang menjadi rujukan utama bagi agama Islam itu sendiri. Bahkan ianya menjadi salah satu daripada rukun iman yang mesti diyakini tanpa syak dan ragu.

Namun, perlu difahami bahawa kitab suci Al-Quran, walaupun terdapat banyak hadis yang memerintahkan kita supaya membacanya.Tapi ianya bukan sekadar perlu dibaca. Tetapi mestilah dihayati dalam seluruh kehidupan setiap apa yang difirmankan.

Baru-baru ini ketika saya dalam perjalanan pulang dari satu program ke rumah, memandu bersendirian pada waktu hampir tengah malam. Kebiasaannya saya akan mendengar cd audio atau pilih salah satu channel radio sebagai teman ketika memandu.
Kebetulan pada waktu itu, seingat saya sehari sebelum Ramadan atau hari pertama Ramadan, saya terdengar satu forum ehwal Islam yang tajuknya berkisar tentang penghayatan Ramadan dari salah satu saluran radio yang ada dalam negara kita.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kepada salah seorang ahli panel yang mengupas isu ini dengan mengatakan, “Ramadan adalah satu bulan yang dikenali dengan nama ‘Syahrul Quran’ atau maknanya Bulan Al-Quran kerana di dalamnya pernah diturunkan Al-Quran. Maka kita umat Islam perlu menghayati bulan ini dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran. Tapi ada setengah pihak yang bila tiba bulan Ramadan mereka sibuk untuk mengadakan tazkirah, kuliah dan sebagainya. Itu satu tindakan yang tidak betul kerana Imam Malik (pengasas Mazhab Maliki) yang mengajar pelbagai jenis ilmu Islam di masjid nabawi pun, bila tiba bulan Ramadan beliau akan menangguhkan kelas pengajian hadis, feqah dan sebagainya dan memberi tumpuan kepada tadarus Al-Quran !.”

Ini antara petikan ucapan atau mafhum dari huraian beliau. HAIRAN !!! Bagaimana kefahaman seperti ada pada orang yang bertitle ustaz atau tokoh agama! Saya ingin mengajak saudara pembaca cuba berfikir tentang beberapa perkara yang saya nyatakan di bawah ini ;

1) Kalau kita perhatikan di dalam Al-Quran Al-Karim terdapat terlalu banyak ayat yang memerintahkan kita menyampaikan tazkirah (peringatan) sebagai contoh di dalam surah Az-Zariyaat : 55 yang bermaksud ;
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman”

Adakah perintah memberi peringatan ini dikhususkan pada bulan-bulan tertentu sahaja? Atau terdapat larangan untuk bulan-bulan tertentu?

2) Bukankah Allah menyebut di dalam Al-Quran antara salah satu ciri golongan yang tidak rugi pada hari akhirat ialah “orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” surah Al-Asr: ayat 3.

3) Allah perintahkan kita membaca Al-Quran tidak hanya terhenti kepada membacanya sahaja. Bahkan membaca Al-Quran adalah langkah pertama untuk memahami dan menghayati isi kandungannya. Ini kerana matlamat penurunan Al-Quran itu adalah sebagai hidayah dan petunjuk bagi kehidupan manusia. Bagaimana seseorang itu boleh menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupannya walhal dia tidak tahu apa yang terkandung di dalam Al-Quran itu sendiri.

Sebagai satu contoh, seseorang yang ingin memasak satu resepi makanan berpandukan Buku Resepi Masakan. Dia pandai mengeja dan membaca, tapi tidak tahu menahu tentang bahan-bahan yang disebut dalam buku tersebut.Dia dapat membaca perkataan yang tertulis seperti lada, jintan manis, bunga kantan dan lain-lain tetapi tidak tahu apa itu lada, jintan manis, bunga kantan dan sebagainya.Bahkan dia boleh menghafal bahan-bahan yang dieja ini. Bagaimana kesudahan masakannya ?!

Sudah tentu dia memerlukan seseorang untuk menjelaskan maksud bahan-bahan itu dan memberi tunjuk ajar bagaimana cara bahan-bahan itu diadun. Inilah di antara matlamat tazkirah disampaikan. Menghurai dan menjelaskan isi kandungan Al-Quran atau dengan kata lain, menyatakan yang benar itu benar dan salah itu salah menurut neraca Al-Quran Al-Karim.

4) Diriwayatkan dalam satu hadis yang mafhumnya “Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah, dan diamnya adalah tasbih…”. Kalaulah diam dari mengeluarkan kata yang keji pun diberi pahala seumpama mengucapkan tasbih. Apakah menjelaskan Islam kepada masyarakat di bulan yang mulia ini termasuk perkara yang salah dan sia-sia ?!

5) Bukankah kita digalakkan untuk beriktikaf di rumah-rumah Allah, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan?. Maka, memberi dan mendengar tazkirah di masjid adalah termasuk iktikaf yang akan diberi ganjaran pahala insyaAllah…

6) Perbandingan dengan tindakan Imam Malik rahimahullah adalah tidak tepat kerana di zaman beliau masyarakat memiliki kesedaran yang tinggi tentang ilmu dan hidup beragama. Sehingga diriwayatkan bahawa khalifah yang memerintah pada waktu sangat cintakan ilmu dan majlis-majlis ilmu.Adapun di zaman mutakhir ini, nak harap masyarakat ramai sikit datang ke masjid dan surau pada bulan Ramadanlah. Maka diambil kesempatan untuk memberi kesedaran dan penjelasan tentang Islam kepada mereka.

7) Allah SWT yang memerintahkan supaya memberi peringatan (tazkirah) dengan Al-Quran sebagaimana firmanNya :

“Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakana (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad) dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu”. –Surah Qaaf : 45.

Justeru, dalam membaca Al-Quran Al-Karim, kita mestilah memperbetulkan niat atau dengan kata lain, mempelbagaikan niat daripada membaca kerana nak dapat pahala kepada membaca Al-Quran untuk mempelajari dan mengetahui isi kandungannya. Dalam masa yang sama, cuba semampu mungkin untuk mempraktikkan apa yang telah difahami tersebut.Kalau dapat, cuba pula mendalami rahsia-rahsia mukjizat Al-Quran melalui kajian para ulama’ untuk menambahkan lagi keyakinan kepada keagungan Kalam Allah ini.

Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami kefahaman Islam yang syumul, serta terimalah segala amal ibadah kami…
 
Copyright @ 2008 BabMusalla: September 2009 | Original Template By Orca Wave Wordpress | Modified By iEn | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top