AL-QURAN FOR ALL (Part 1)

Antara tanda yang membuktikan rahmatnya Allah SWT terhadap hamba-hambanya ialah apabila dibekalkan kepada mereka ‘buku panduan’. Sesuatu yang bertindak memandu dan membimbing kehidupan manusia ke jalan yang baik dan selamat. Sumber rujukan dalam menentukan halal/haram atau baik/buruk sesuatu perkara.Walaupun manusia telah diberi keistimewaan dengan dikurniakan akal fikiran. Dengannya manusia dapat berfikir baik atau buruknya satu-satu perkara itu.

Pun begitu, manusia tetap manusia. Sarat dengan kelemahan dan kecacatan kerana manusia tetap bergelar hamba.Beberapa ayat di bawah dapat menjelaskan kepada kita hakikat sebenar manusia ;

1) Maksud surah An-Nisa’ : ayat 28 ; “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah”.

2) Maksud surah Al-Balad : ayat 4 ; “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)”.

3) Maksud surah Al-Ma’arij : ayat 19-22 ; “ Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir, Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat…”

Apabila itulah hakikat kejadian manusia, maka Allah SWT dengan limpah kurniaNya tidak membiarkan manusia yang kadang-kala bertuhankan hawa nafsu mengurus tadbir diri mereka sendiri. Ini adalah kerana, di antara unsur kejadian manusia ialah nafsu dan ada kalanya akal fikiran mereka ‘dibutakan’ oleh kehendak diri dan hawa nafsu dari melihat kebenaran. Maka Allah SWT menurunkan kitab suci Al-Quran melalui nabi yang diutuskan adalah penyelamat dan penawar yang paling mujarab bagi ‘menyuluh dan mencelikkan’ kembali jiwa manusia. Sekaligus membantu akal manusia berfikir dengan waras dan tepat.

Kalaulah untuk mentadbir diri pun, Allah SWT tidak membenarkan manusia menggunakan akal fikiran semata-mata.Apatah lagi untuk mengurus tadbir keluarga, masyarakat, negara dan alam ini.Sudah tentu Al-Quran lah yang mesti dijadikan rujukan dan panduan bagi memandu akal fikiran manusia ke arah jalan kebaikan.

Jika tidak, segala masalah yang cuba diselesaikan oleh manusia tanpa merujuk kepada Al-Quran.Samada ianya berlaku dalam negara, masyarakat atau institusi keluarga sekalipun akan menemui kegagalan dan segala kekusutan akan menemui jalan buntu...!




0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright @ 2008 BabMusalla: AL-QURAN FOR ALL (Part 1) | Original Template By Orca Wave Wordpress | Modified By iEn | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top