Manfaatkan Peluang Untuk Sampaikan Islam

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT yang mengurniakan kita nikmat Iman dan Islam.Lebih-lebih lagi berada dalam satu jamaah Islam yang secara langsung atau tidak langsung dapat mendidik dan memelihara diri kita.Hanya terpulang kepada diri kita samada mahu mengambil manfaat dari kebaikan yang ada dalam jamaah itu atau tidak.

Lihat sahajalah kepada program-program yang diatur dan menjadi agenda bulanan atau tahunan di semua peringkat.Bermula daripada cawangan, kawasan, negeri mahupun pusat.Dewan ulama’, dewan pemuda, dewan muslimat dan nisa’.Kesemuanya berpaksikan Islam dan apabila ianya berpaksikan Islam kesemuanya akan menjurus kepada kebaikan.Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan lagi !

Inilah perbezaan di antara Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan yang lain.Pas bukan sekadar Islam pada namanya, tetapi menjadikan Islam dasar perjuangan serta dalam segala pendekatan yang diambil.
Oleh kerana itu, segala kemudahan yang ada pada hari ini hendaklah dijadikan jambatan bagi menghubungkan manusia dengan Islam.Samada penerangan itu kepada masyarakat umum, musuh politik atau kepada ahli Pas sendiri.

Bagaimana kita melihat nabi-nabi dan rasul-rasul mengambil setiap peluang dan ruang yang ada untuk menyampaikan Islam.Nabi Yusuf a.s. walaupun ketika sedang merengkok dalam penjara masih mengambil kesempatan untuk menerangkan konsep tauhid kepada dua orang pemuda yang dipenjara bersama-sama baginda.Nabi Muhammad s.a.w. selain daripada tidak henti-henti berdakwah, mengambil peluang sewaktu masyarakat Arab berduyun-duyun datang ke kota Mekah pada musim haji untuk memberi penerangan kepada mereka tentang kemurniaan ajaran Islam.

Mudah-mudahan kita diberikan kebijaksanaan oleh Allah ArRabbul Jalil agar dapat manfaatkan segenap ruang dan peluang yang ada untuk kebaikan diri kita dan orang lain.

 
Copyright @ 2008 BabMusalla: Manfaatkan Peluang Untuk Sampaikan Islam | Original Template By Orca Wave Wordpress | Modified By iEn | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top