Allah SWT berfirman;
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ * إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٲوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِى ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَہُونَ
Maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)”.(QS.Al-Maidah ( 5 ) :90-91)
Judi merupakan dosa dan sama seperti meminum arak, bertenung nasib dan menyembah berhala.Ia merupakan amalan syaitan, di mana syaitan merupakan makhluk yang dikutuk dan dilaknat oleh Allah SWT.
Di dalam kitab tafsir Ruhul Ma’ani dalam membicarakan ayat ini, Imam Al Alusi menyatakan bahawa, “Allah SWT menyebut arak dan judi bersama patung berhala dan bertenung nasib untuk menunjukkan bahawa arak dan judi sama keji dan sama besar dosanya dengan menyembah patung dan bertenung nasib”
Di dalam Al-Quran juga,ayat berkaitan judi sering dikaitkan dengan arak yang menunjukkan betapa ia amat dimurkai oleh Allah yang sudah tentu membawa banyak masalah social seperti jenayah, membunuh, berzina, peras ugut, rasuah dan lain-lain lagi.
Orang yang berjudi sebenarnya telah melakukan keingkaran kepada Allah SWT dan hidupnya tidak berada dalam ketenangan semasa di dunia lagi.
Selain dikira perbuatan keji, judi boleh merosakkan akidah, memporak perandakan syariat dan meruntuhkan akhlak, hingga ulama’ mengatakan bahawa perbuatan mengajak berjudi itu sudah dikira berdosa. Sebagaimana Imam Az-Zahabi mengatakan dalam kitab Al-Kabair :
“ Kalau hanya mengajak berjudi sudah berdosa, apatah lagi bermain judi, maka sudah tentu dosanya besar “
Kerosakan dari sudut syariat pula dapat kita lihat apabila kaki judi ini kalah. Mereka akan membuat perkara yang dilarang oleh syarak bagi mendapatkan wang atau modal untuk berjudi seperti mencuri, peras ugut dan merompak.Institusi keluarga menjadi musnah.Tanggungjawab kepada isteri dan anak akan terabai.Nafkah tidak terjaga kerana segala harta yang ada dihabiskan untuk berjudi.Malah mereka sanggup meminjam daripada Along/Ceti bagi mendapatkan wang segera untuk berjudi bagi memenuhi impian menjadi kaya yang tidak pernah menjadi kenyataan.Kekalahan dalam perjudian juga menyebabkan seseorang menjadi pendendam hingga boleh membawa kepada pembunuhan.
Tabiat berjudi juga menyebabkan seseorang suka berhutang.Apabila hutang tidak dapat dilunaskan, maka satu tabiat lagi yang menyerlahkan akhlak yang buruk ialah suka menipu.Dia akan memberi pelbagai alasan apabila pemiutang datang untuk menuntut haknya.Tabiat berjudi juga menyebabkan individu dihinggapi penyakit keluh kesah.Ini berlaku apabila dia leka berjudi menyebabkan jiwanya kosong dan lidahnya kering daripada berzikir, sedangkan berzikir itu benteng kegelisahan.Apabila berada dalam kegelisahan, dia mudah diperdaya oleh syaitan.
Allah SWT berfirman ;
Yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)
Antara hikmah mengapa Islam mengharamkan judi adalah sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Yusof al-Qaradawi antaranya :
1- Kerugian mendorong pihak yang kalah untuk mengulangi lagi, barangkali dengan ulangan yang kedua itu dapat menutup kerugiannya yang pertama. Sedang yang menang, kerana didorong oleh enaknya kemenangan, maka ia tertarik untuk mengulangi lagi. Kemenangannya yang sedikit itu mengajak untuk dapat lebih banyak dan sama sekali dia tidak ingin untuk berhenti.
Begitulah berkaitnya putaran dalam permainan judi, sehingga hampir kedua putaran ini tidak pernah berpisah. Dan inilah rahsia terjadinya pertumpahan darah antara pemain-pemain judi.
2- Hobi ini merosakkan masa dan aktiviti-aktiviti kehidupan dan menyebabkan si pemain-pemainnya menjadi manusia yang tamak, mereka mahu mengambil hak milik orang tetapi tidak mahu memberi .
Selamanya pemain judi sibuk dengan permainannya, sehingga lupa akan kewajipannya kepada Tuhan, kewajipan kepada diri, kewajipan terhadap keluarganya dan kewajipannya kepada ummat keseluruhannya .
Betapa benarnya dan indahnya susunan al-Quran yang mengkaitkan arak dan judi ini dalam satu rangkaian ayat dan hukumnya, sebab bahayanya terhadap pribadi, keluarga, tanah air dan moral adalah sama.
Beberapa hari yang lalu, negara dan rakyat dalam negara ini sekali lagi ditimpa bala dan malapetaka apabila kerajaan meluluskan lesen judi pertaruhan untuk pertandingan bolasepak Piala Dunia yang akan berlangsung tidak lama lagi.Walaupun perkara ini mendapat bantahan dari pelbagai lapisan masyarakat dalam negara kita.
Sebagai contoh bantahan yang dibuat oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam kenyataan media mereka sepertimana berikut,
”Kami membantah sebarang usaha untuk menghalalkan judi kerana ia akan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat atas alasan-alasan berikut:-
1. Judi memberi kesan kepada institusi kekeluargaan di mana banyak kes-kes perceraian adalah disebabkan suami yang berjudi sehimgga mengabaikan nafkah anak dan isteri.
2. Boleh menyebabkan masalah ”along” menjadi lebih runcing.
3. kewangan keluarga akan menjadi kuar-kacir.
4. Membawa diri ke lembah yang bahaya kerana akan berlaku jenayah di merata-rata disebabkan kegiatan judi yang semakin ketagih.”
Alasan yang diberikan oleh kerajaan ialah judi dan pertaruhan bolasepak Piala Dunia ini, akan tetap berlaku dalam masyarakat walaupun tidak diberikan lesen. Di samping kerajaan dapat menggunakan hasil yang dikutip dari cukai judi ini untuk pembangunan sukan negara.
Alasan seumpama ini tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang menteri yang berbangsa melayu dan beragama Islam.Ini kerana hukum judi tetap haram samada diberikan lesen atau tidak.
Adakah kerajaan akan memberi alasan yang sama nanti kepada masalah sosial yang lain seperti pelacuran, rompak dan samun dengan memberi lesen kepada pelacur dan perompak kerana kalau tidak diberi lesen sekalipun mereka tetap akan melacur dan merompak?!
Fenomena ini menunjukkan lemahnya penguatkuasaan undang-undang di negara kita dalam masalah judi ini.Sepatutnya apa yang kerajaan perlu lakukan ialah mengetatkan lagi penguatkuasaan demi melahirkan masyarakat yang cemerlang serta bebas dari tabiat yang buruk ini.
Begitu juga alasan kononnya hasil cukai industri judi ini akan dimanfaatkan oleh kerajaan untuk pembangunan sukan adalah alasan yang sama sekali tidak boleh diterima. Ini kerana dalam kaedah syariat Islam menyatakan bahawa, ”Matlamat tidak boleh menghalalkan cara”. Ini bermakna niat untuk membangunkan sukan adalah suatu niat yang murni tetapi pada masa yang sama tidak boleh menghalalkan judi yang jelas haram di dalam Islam.
Tidak cukup lagikah pelbagai jenayah dan masalah sosial yang telah melanda masyarakat dalam negara ini saban hari.Rompak, bunuh, rogol, zina, buang anak dan macam-macam lagi.
Kalau mungkin alasan yang akan diberikan, untuk meraikan rakyat dalam negara ini yang pelbagai bangsa dan anutan agama kerana Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk. Jawapannya, tidak ada satu ajaran agama pun yang menggalakkan penganutnya berjudi kerana ianya tidak memberi apa-apa kebaikan kepada masyarakat.Sebaliknya manfaat dan keuntungan hanya diperolehi oleh taukeh-taukeh judi dan mereka yang sewaktu dengannya..
Justeru itu, kita memohon dan menegaskan bahawa kerajaan di atas rasa tanggungjawab kepada negara dan rakyat hendaklah menarik balik lesen judi yang telah dikeluarkan untuk pertandingan bolasepak Piala Dunia ini serta segala bentuk judi dan pertaruhan lain yang telah lama merosakkan masyarakat dan merugikan negara ini.
Mudah-mudahan masyarakat dalam negara ini dipelihara oleh Allah SWT dari segala bala bencana. Samada di dunia apatah lagi di akhirat...